Popular Posts

Wednesday 28 December 2011

PENDIDIKAN SENI MEMBANTU MENINGKATKAN KREATIVITI


HUBUNGAN SENI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL
Matlamat Pendidikan Seni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan harmonis. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian (seni sebagai cara hidup).
Seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranan Pendidikan Seni yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan bahkan mampu melahirkan pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang berteraskan kebudayaan kebangsaan.
Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri. Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.
Seni juga berperanan penting dalam pembangunan manusia, malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya.
Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan (pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya.
Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.
Pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan Pendidikan Seni tersebut iaitu:
a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibat seni sebagai budaya visual

b) Kaitan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu karya seni
c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni
d) Analisis unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni/objek
e) Memahami sesuatu hail seni dan bentuk dari sudut kontent
f) Gabungkan unsur teknologi dalam pendidikan Seni
g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan konstruktif yang membina

Kesimpulannya di sini dalam kehidupan harian kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan seni. Tidak kira sebesar mana peranannya terhadap kehidupan kita, namun kepentingan seni wajar dilihat sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Penglibatan seni hampir menyeluruh, terutama jika dilihat tentang penggunaan bahan peralatan di rumah, susunan perabut, pemilihan warna dan fesyen pakaian dan banyak lagi perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Semuanya ini mempunyai kaitan dengan seni dan falsafah masyarakat.

MENINGKATKAN KREATIVITI DALAM EKSPRESI SENI : TEORI MC FEE
Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)
Mc Fee(1970) menekankan kepekaan terhadap alam sekitar di dalam matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni . Beliau menekankan empat asas dalam mengkaji seni iaitu:
a) Kajian dan bandingan makna iaitu kanak-kanak mengenal objek serta bandingan objek melalui soalan-soalan yang dibina.
b) Belajar membaca mesej iaitu makna dan nilai pada objek mengaitkan makna dengan nilai.
c) Kajian komunikasi antara penyusunan benda-benda di persekitaran dengan nilai-nilai dan unsur budaya.
d) Kajian dari perspektif individu membuat modifikasi sesuai dengan nilai-nilai dan budaya.
Seni telah diterima oleh masyarakat kita sebagai satu budaya hidup yang perlu dikekalkan. Perkembangan seni selari dengan perkembangan hidup manusia sejak zaman dahulu lagi. Justeru tidak hairan jika Mc Fee lebih menumpukan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat melalui penerokaan dalam menghasilkan seni. Apa juga corak yang dihasilkan mempunyai makna kebudayaan di dalamnya. Ini membuktikan betapa pengaruh kebudayaan amat ditekankan dalam matlamat kurikulum Mc Fee.

Teori beliau lebih komprehensif berhubung dengan pengamatan. Beliau percaya, ”…kanak-kanak melukis sebagaimana yang mereka lakukan dan bukanlah disebabkan satu-satu faktor tetapi disebabkan oleh semua”.
Mengikut teori ini kebudayaan adalah penting. Seni dan kurikulum seni adalah sebahagian dari kebudayaannya di mana kanak-kanak itu tinggal. Kebudayaan ini sebenarnya memberi kesan kepada pencapaian artistik kanak-kanak. Hari ini di mana-mana juga terdapat pelajar yang mewakili kebudayaan masing-masing. Mengikut Mc Fee (1970) lagi, adalah sangat mustahak setiap individu iaitu kanak-kanak dan ‘subculture’ dilindungi dan dipertahankan melalui seni tampak.
Bagi mencapai objektif bagaimana Pendidikan Seni dapat memperkembangkan warisan kebudayaan, (sasaran golongan masyarakat dan pelajar) , strategi dan pelaksanaan yang dicadangkan adalah seperti berikut;

a) Memberi peluang mengetahui pencapaian seniman lampau serta kini termasuk ’identiti’ mereka ketika menghasilkan karya mahupun melakukan aktiviti seni mereka.
- Pendekatan ini boleh memberi ruang dan peluang kepada individu terutama pelajar mencari dan mendapat idea seni melalui pengalaman kendiri mereka berdasar rujukan biografi para seniman tanahair. Ini kerana kita sedia maklum dalam kurikulum Mc Fee, beliau menekankan aspek kepekaan terhadap persekitaran dan alam dalam menghasilkan sesuatu karya. Pelajar boleh menggunakan persekitaran alam sekeliling mereka untuk dijadikan idea utama dalam pengolahan makna. Melalui ’design object’ ini pelajar menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan makna dan secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej yang ingin diluahkan. Tingkahlaku kognitif pelajar terbentuk mengikut kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Maka tidak mustahil jika hasil karya mereka berdasar kepada pengalaman yang dilalui.

b) Membuat penyelidikan dan membanding makna melalui hasil karya lampau seseorang seniman sebagai bahan rujukan.
- Dalam seni kritikan, pengkritik seni berperanan menceritakan apa yang berlaku di sebalik terhasilnya sesuatu karya itu supaya ia menjadi lebih bertenaga dan bercahaya selepas digilap oleh pengkritik seni yang berwibawa. Bahkan pengkritik seni perlu jujur dalam kritikannya. Secara tidak langsung menerapkan rasa penghayatan masyarakat terhadap sesuatu karya yang  mengandungi simbol dan makna yang cuba disampaikan.

c) Memerhati seniman menyusun objek-objek yang dipilih sehingga menjadi satu karya yang mengandungi simbol dan makna.
- Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan seniman mengolah idea dengan adunan warna dan teknik memperlihatkan satu kreativiti yang hebat. Karya seni merupakan satu manifestasi kejujuran. Seni berperanan untuk mendidik penghayat (masyarakat). Edmund Burke Feldman (1966) menyatakan seni sebagai satu bidang komunikasi yang berkesan kepada masyarakat. Karya seni ini boleh dianggap sebagai himpunan khazanah, idea, sumber ilham untuk dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin.


d) Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa

seni visual.
- Manusia mempunyai emosi dan perasaan dan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia untuk menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya ’Psychology of Gesture’ telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri.
Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; ”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.
Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan adalah proses budaya. Bagaimana budaya tercipta? Tentulah melalui seni warisan bangsanya.

PENUTUP:
Seni begitu memain peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini.
Di harapkan melalui Pendidikan Seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini.
Seni dan falsafah menjadi faktor terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan. Memang benar apabila seni dikatakan sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan kepentingan bersama.

Friday 16 December 2011

BERBICARA TENTANG SENI


        Berbicara tentang seni, ada banyak  seni yang kita temui sehingga  saat ini, dan salah satunya yang cukup disegani adalah lukisan. Seni lukis sudah banyak diketahui dan diteliti sepanjang perjalanan kehidupan manusia. Dari semasa ke semasa  peralatan yang digunakan dalam seni melukis pun bervariasi. Dahulu kita pernah menemui lukisan dengan minyak sebagai pengikat material-material pigmen zat warna yang disapukan ke kanvas, ada juga cat air dimana menggunakan media air sebagai pembawa zat warnanya. Selain itu ada juga lukisan encaustic yang menggunakan wax atau lilin.

        Perkembangan  teknologi juga memberi kesan pada perkembangan seni lukis. Tahap demi tahap, dalam dunia seni lukis moden  terhasilah jenis-jenis warna baru yang menggunakan teknologi kimia. Namun perubahan-perubahan tersebut seakan membatasi para seniman dalam seni  lukis dalam berkarya pada era lampau. Sebagai contoh, warna-warna yang tersedia pada era Warhol tidak tersedia pada  era Monet. Warna-warna yang digunakan Van Gogh tidak ada pada era Michelangelo, dan seterusnya.
Kini, kita mengenal medan baru seni lukis yang berbeda dari seni lukis pada era para pendahulu kita iaitu Digital Painting. Kita lebih mengenal pixel daripada pigmen warna, kanvas kita berupa monitor, palette dideskripsikan sebagai RGB (Red, Green, Blue), CMYK (Cyan, Magenta, Yellow, Black), dan sebagainya. Setelah lukisan kita terhasil , maka  kita cetak dan menjadi pigmen warna  pada kertas atau dokumen cetak kita.

Charcoal Drawings
     Seni charcoal sudah ada sejak zaman manusia menggunakan ranting pohon yang dibakar untuk digunakan bagi  menggambar imej  pada dinding-dinding gua. Alat tersebut memang alat yang sesuai untuk membuat gambar atau tanda yang jelas dan tajam. Beberapa charcoal terbuat dari kayu keras yang dibakar. Jenis lainnya ada yang terbuat dari ranting-ranting pohon seperti willow. Bambu juga merupakan alternatif lain yang banyak digunakan dalam seni tradisional Sumi-e yang berasal dari Jepun . Yang lebih moden lagi menggunakan material gam dan dibentuk menjadi beberapa peringkat kekerasan yang bervariasi. Kini, para seniman terus mengikuti tradisi tersebut dengan menggunakan charcoal yang sesungguhnya, charcoal yang diubahsuai  ke pensil, serta variasi Pensil konte dan kapur.

        Dahulu Michelangelo dan Leonardo Da Vinci merupakan master seniman yang menggunakan  charcoal ini. Namun,pada saat ini kita juga dapat mengikuti kemahiran seni lukis iaitu  mereka menggunakan Photoshop, dimana charcoal berupa pixel. Bila kita berpikir tentang charcoal, tentu kita berpikir tentang foto yang hitam-putih. Dengan Photoshop, tentu saja  dengan sangat mudah dapat membuat foto berwarna menjadi hitam-putih .

Pastel Drawings
      Pastel merupakan media seni lukis menakjubkan yang menghasilkan warna yang hidup. Seni lukis ini sangat portable dan dapat menghasilkan lukisan kompleks dari sebuah sketsa dengan cepat. Tidak memerlukan media pelarut berupa air atau minyak, jadi ia merupakan seni lukis dengan media kering.
Pastel adalah seni lukis yang cukup mudah. Jika kita berpikir tentang pastel, mungkin kita teringat lukisan “Ballet Dancer” karya Degas.
  
       Apakah kita tahu bahawa sebenarnya Degas juga seorang fotografi ? Atau mungkin juga kita teringat akan lukisan Toulouse-Lautrec. Hmm.. jika kita lihat, banyak sekali para seniman yang bergelumbang dengan  seni lukis ini, kerana pastel memang tergolong  dalam seni lukis yang mudah.
Pastel di perbuat dari gabungan beberapa pigmen warna, dan banyak sekali pilihan warna yang tersedia. Kualitinya juga bervariasi, mulai dari pastel ekonomis yang banyak dipakai anak-anak sekolah, sampai pastel yang sangat mahal yang memang banyak digunakan para seniman terkenal. Namun diantaranya ada juga pastel-pastel dengan kualiti  yang banyak digunakan oleh para seniman jalanan untuk membuat karya-karya kecil mereka.

        Pastel digunakan pada kertas atau kanvas bertekstur yang biasa juga disebut “Tooth”, dan banyak menggunakan kanvas yang berwarna, bukan putih. Beberapa seniman  juga yang menggunakan kertas khusus yang pada permukaannya terdapat pasir. 

Sunday 11 December 2011

LUKISAN BINATANG


                Ini adalah antara binatang yang saya lukis untuk studio lukisan .
                                                             





Monday 5 December 2011

CIRI-CIRI IDEA KREATIF






Sehingga hari ini telah banyak kajian dan penyelidikan tentang ciri-ciri idea kreatif. Antara tokoh yang banyak menjalankan kajian terhadap idea-idea kreatif ini ialah Graham Wallas (1926), Guilford (1950), Lehman (1953), Osborn (1954), Taylor (1956), Getzels (1962), deBono (1970), Foster (1971), Hermann (1984), Trefingger (1986) dan lain-lain lagi.

CIRI-CIRI IDEA KREATIF 
Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh mereka, beberapa ciri-ciri penting tentang idea kreatif telah ditemui dan dirumuskan. Antara ciri-ciri tersebut ialah:

(a) Idea Baru dan Idea Alternatif
Idea baru ialah idea yang segar dan tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun. Idea kreatif yang dihasilkan adalah lebih baik dan berkualiti. Ianya juga berwajah baru dari sudut konsep, prosedur dan perlaksaan idea baru tersebut. Idea baru ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana idea yang telah sedia ada. Ia wujud di kalangan masyarakat dan tiada seorang individu terfikir tentangnya. Apabila sesuatu idea ditiru dan kemudian telah diadaptasikan dalam bentuk yang baru, idea berkenaan tidak dikira dan diiktiraf sebagai satu bentuk idea yang baru lagi.

(b) Idea Perlu diperluaskan
Idea-idea kreatif baru terbit perlu diperluaskan serta diperkembangkan dengan pengisian tambahan yang lain. Ia juga boleh dikecilkan, dibesarkan dan digabungkan dengan mana-mana idea lama dengan tujuan untuk menghasilkan idea yang lebih bermutu. Idea asal itu boleh diperluaskan dengan gabungan idea-idea baru. Salah satu daripada prinsip inovasi adalah idea baru boleh dipelbagaikan supaya kelihatan lebih menarik dan memiliki ciri-ciri pasaran yang tinggi. Idea yang tidak boleh diperluaskan akan hilang dan pupus menyebabkan ia tidak dapat digunakan lagi.

(c) Tidak Mementingkan Prinsip yang Kompleks
Idea-idea kreatif tidak mementingkan prinsip-prinsip yang kompleks. Ia tidak seperti idea-idea kritis yang mesti melalui beberapa tahap uji kaji dan penilaian sebelum idea berkenaan diterima. Idea-idea kreatif boleh diterbit secara sewenang-wenang dan tidak mempunyai satu peraturan yang khusus. Kadangkala idea-idea yang tidak logik dan gila-gila juga boleh diterima pakai dan digunakan.

(d) Idea Bersifat Mobiliti
Idea kreatif tidak bersifat statik dan kaku malahan ianya bersifat dinamik. Ia boleh bergerak merentasi amalan dan disiplin ilmu bidang lain. Kepelbagaian bidang dan pengalaman menjadikan idea kreatif lebih mudah diterbitkan. Gabungan daripada pelbagai sumber, pengetahuan, pengalaman dan pendekatan bagi menghasilkan idea yang lebih baik serta bermutu. Hari ini, semua bidang kehidupan boleh dikaitkan dengan kreativiti. Kreativiti boleh bergerak menerusi pelbagai saluran, merentasi berbagai benua, bangsa dan tidak mengira apa budaya sekali pun.

(e) Idea Bersifat Diversiti dan Kepelbagaian
Idea yang bersifat diversiti dan kepelbagaian adalah ciri-ciri utama kreativiti. Bagi memanipulasikan idea-idea kreatif, pelbagai kaedah dan pendekatan boleh digabungkan agar ianya mudah dilaksanakan. Berdasarkan idea-idea ini, ia banyak mewujudkan idea-idea alternatif yang baru. Apabila idea pertama gagal digunakan maka idea kedua dan seterusnya boleh digunakan, begitulah seterusnya berlaku.

(f) Idea Bersifat Fleksibiliti
Idea-idea kreatif adalah bersifat fleksibel dan tidak rigid. Ia juga boleh digabungkan ataupun dikurangkan. Namun begitu, ia tidak boleh diketepikan sama sekali dan idea-idea kreatif ini boleh diterbitkan oleh sesiapa sahaja. Tidak kira sama ada individu itu golongan kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua. Golongan remaja dan dewasa mungkin boleh menghasilkan idea kreatif yang lebih baik daripada orang tua.


(g) Idea Bersifat Eksplorasi
Idea-idea kreatif lahir daripada usaha-usaha penerokaan dan pengamatan deria yang luas terhadap persekitaran. Ini disebabkan oleh idea-idea kreatif bersifat proaktif berbanding dengan idea kritis yang bersifat reaktif. Bagi mendapatkan idea-idea kreatif, seseorang individu itu perlu menerokai alam kanak-kanak, alam remaja, alam dewasa, alam golongan tua dan juga bidang-bidang yang lain. Perkara ini sangat penting bagi memastikan idea-idea kreatif boleh mengambarkan kreativiti yang standard berdasarkan keperluan.

(h) Idea itu Berguna dan Bernilai
Idea kreatif tidak bersifat kompleks, abstrak dan sukar untuk difahami. Idea-idea kreatif boleh dipermudahkan dan berguna. Idea yang berbentuk abstrak, unik dan kompleks tidak akan dapat memberikan manafaat. Oleh itu, ia tidaklah dianggap mempunyai nilai kreatif. Dengan erti kata yang lebih mudah, idea perlu mampu diterjemahkan dan dilaksanakan secara kukuh serta teguh. Idea akan hanya tinggal idea sahaja sekiranya ia tidak dapat memberikan sebarang nilai tambah kepada kita.

PENDEKATAN DALAM KREATIVITI



Idea-Idea Baru

Selain daripada menggunakan kaedah sumbangsaran, sekolah juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk memperkembangkan kebolehan dan kreativiti pelajar. Penggunaan kaedah-kaedah ataupun pendekatan yang tertentu di samping membuat penyelesaian kepada persekitaran ataupun kedua-duanya sekali. Triffinger (1986) di dalam Md. Nasir Ibrahim & Iberahim Hassan(2003) telah mencadangkan satu model pembelajaran secara kreatif. Beliau telah mencadangkan proses bagi mencerna idea-idea baru yang lebih kreatif dipecahkan kepada tiga paras utama. Tiga paras tersebut adalah:

(a) Paras 1
Mempelajari alat-alat asas untuk berfikir yang mana guru seharusnya mengakui kepentingan dalam proses mengajar pelajar menguasai beberapa alat asas bagi melahirkan dan menganalisa idea-idea seperti perbincangan jenis sumbangsaran.

(b) Paras 2
Mempelajari dan melatih pelajar menggunakan model-model penyelesaian masalah. Para pelajar belajar dan berlatih menggunakan dan menerapkan kaedah penggunaan peralatan untuk berfikir cara yang kreatif dalam mencari penyelesaian yang lebih kompleks dan sistematik.

(c) Paras 3
Menghadapi segala permasalahan dan cabaran yang sebenar iaitu pelajar-pelajar dicabar bagi menggunakan alat-alat asas serta kaedah menyelesaikan masalah tersebut.

KAEDAH LAIN MENGGALAKKAN KREATIVITI
Bagi menjana dan menggalakkan perkembangan kreativiti terdapat beberapa kaedah lain yang dikenalpasti untuk tujuan tersebut. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah seperti diperjelaskan di bawah:

Kaedah Penyimpanan Data menggunakan Dairi Visual
Kaedah penyimpanan data melalui catatan dan lakaran di dalam dairi visual adalah di antara salah satu kaedah yang selalunya diamalkan oleh pelukis dan pereka yang aktif berkarya dari masa kemasa. Kaedah ini biasanya berlaku secara berterusan. Dan sesetengah daripada mereka menggunakan istilah buku lakaran (Sketches Book) bagi tujuan ini. Walau bagaimanapun ia adalah merupakan satu kaedah yang sama sahaja.


Di dalam dairi visual selalunya pelukis akan mencatat segala maklumat-maklumat yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu karya di kemudian hari. Di samping catatan-catatan penting, mereka juga akan melakar idea-idea awal yang akan dikembangkan untuk menghasilkan idea yang sebenarnya nanti. Kadangkala perkembangan idea permulaan penghasilan juga dilakarkan di dalam dairi ini. Salah satu contoh dairi visual yang menjadi rujukan hingga ke hari ini adalah dairi visual yang dihasilkan oleh Leonardo Da Vinci.

Dairi visual ini juga berperanan seumpama dairi harian yang kita gunakan. Cuma yang berbeza pada dairi visual adalah ianya menjadi sumber untuk seseorang pengkarya itu merekod segala cetusan idea kreatif yang pertama kali terlintas pada pemikiran mereka. Manakala isi kandungannya pula yang lebih menjurus kepada catatan serta lakaran-lakaran kreatif awal proses penghasilan sesebuah karya. Ini adalah salah satu cara lagi bagi seseorang pengkarya itu merakam dan mencatat perkara-perkara penting yang akan membantunya ketika menghasilkan karya sebenar nanti.

Pameran
Kreativiti di kalangan pelajar juga boleh dipupuk melalui budaya berpameran. Di dalam kontek ini, hasil-hasil karya yang telah dihasilkan oleh pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan akan dipilih berdasarkan kepada tema-tema yang ditentukan oleh pihak sekolah atau penganjur.

Salah satu sebab mengapa kita perlu mempamerkan hasil-hasil karya pelajar adalah untuk menilai sejauh mana nilai dan kualiti estetika yang ada pada karya-karya pelajar mereka. Di samping itu, budaya berpameran ini juga secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan gembira di kalangan pelajar kerana hasil karya mereka dihargai oleh orang lain. Ini secara tidak langsung akan menggalak dan mendorong mereka untuk berusaha lebih kuat untuk menghasilkan karya yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

Budaya mengadakan pameran ini boleh dilakukan secara tiga peringkat. Peringkat yang pertama pameran hasil kerja pelajar boleh diadakan di dalam bilik darjah, peringkat yang kedua pula pameran ini boleh diadakan di peringkat sekolah dan peringkat yang terakhir pameran ini boleh diadakan di galeri-galeri awan setempat. Budaya berpameran ini juga adalah merupakan satu cara motivasi yang berkesan untuk mendorong seseorang pelajar itu untuk terus berkarya.

Membudayakan Persoalan
Dalam kontek membudayakan persoalan ini pula, ia merupakan salah satu cara lagi untuk menggalakan perkembangan idea-idea kreatif. Ketika proses menghasilkan sesebuah karya, biasanya persoalan atau tema-tema yang tertentu akan digunakan sebagai pembuka idea.

Persoalan-persoalan yang selalu digunakan sebagai tema adalah seperti persoalan yang berkaitan dengan alam semulajadi, objek persekitaran, perasaan dalaman, khayalan, imaginasi, tema sejagat dan berdasarkan kepada pengalaman yang lalu. Secara tidak lansung persoalan-persoalan yang digunakan akan dibincang dan dibuat satu bentuk pecahan minda bagi mengembangkan idea-idea kreatif tersebut.

Guru juga perlu menggunakan kaedah sumbangsaran dalam kontek membudayakan persoalan. Apabila kaedah sumbangsaran ini digunakan secara tidak langsung ia akan menggalakkan pelajar untuk berfikir secara lebih kreatif bagi menyesuaikan persoalan di dalam karya-karya baru yang dihasilkan nanti. Bermula dari situlah pelajar akan lebih dekat dan sentiasa memikir dan mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk digunakan bagi menyesuaikan dengan persoalan yang telah dipilih dan digunakan. Ini juga secara tidak langsung akan meletakan persoalan sebagai satu aspek yang penting dan perlu diberikan keutamaan.


 PROSES PERTUMBUHAN KREATIVITI : Peta Minda


Guru merupakan individu yang sangat penting dalam proses menggalakkan pertumbuhan kreativiti di kalangan pelajar. Terdapat pelbagai kaedah dan proses untuk menambahkan kreativiti. Untuk tujuan itu beberapa kaedah telah pun dikenalpasti untuk menggalakkan lagi proses pertumbuhan kreativiti. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah:

Kaedah Analogi
Kaedah Analogi adalah satu daripada kaedah yang dikenalpasti boleh membantu dan menambahkan lagi ke arah perkembangan minda kreatif. Kaedah ini telah diperkenalkan oleh William Jj. Gordon dan George Prince pada tahun 1961.

Analogi bermaksud membuat perbandingan dua benda yang berbeza tetapi mempunyai beberapa persamaan. Kaedah ini memberikan penekanan terhadap usaha bagi menerbitkan idea-idea yang baru dan inovatif dengan menggunakan proses penggabungan. Proses penggabungan ini akan berlaku secara sewenang-wenangnya ataupun kadangkala ianya dikenali juga sebagai proses pengabungan pelbagai konteks.

Plsek (1997) menjelaskan bahawa apabila kita menggunakan kaedah analogi dalam menyelesaikan masalah dan menambahbaikan kaedah berkenaan secara berperingkat, secara tidak langsung sebenarnya kita cuba untuk mengenal pasti beberapa prinsip dan konsep dalam sesuatu keadaan itu. Kemudian ia akan diadaptasikan serta disesuaikan dengan keadaan kita. Kaedah ini banyak menggunakan kaedah analogi serta metafora sebagai instrumen bagi melahirkan idea-idea kreatif serta asli. Kaedah ini juga terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu :

(a) Jenis Analogi Peribadi
Jenis Analogi Peribadi melibatkan diri secara tidak langsung dengan segala permasalahan yang dihadapi. Diri individu adalah menjadi punca kepada segala permasalahan yang dihadapi. Bagi tujuan untuk memahami dan menghayati situasi sesuatu permasalahan yang dihadapi, individu itu sendiri akan berfungsi memainkan peranan utama serta melakonkan watak-watak yang tertentu di dalam proses untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan tersebut. Latihan simulasi akan digunapakai bagi tujuan ini. Teknik ini juga boleh menjanakan idea dengan cara membayangkan diri sendiri di dalam alam benda yang ingin direka cipta.

(b) Jenis Analogi Alam
Jenis Analogi Alam merupakan perbandingan yang dibuat berdasarkan pada sifat dan fungsi makhluk yang terdapat dalam alam. Melalui pengamatan, pemerhatian dan penyelidikan pada sifat serta fungsi flora dan fauna. Ini secara tidak langsung akan dapat memberikan ilham dan inspirasi untuk kita menyelesaikan semua permasalahan yang dihadapi. Tuhan yang maha berkuasa dan maha mengetahui mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap kejadian itu mempunyai hikmahnya tersendiri. Ia boleh diperolehi dengan syarat seseorang individu mesti mengkaji dan berfikir. Berdasarkan elemen-elemen yang terkandung pada flora dan fauna merupakan sumber ilham kepada manusia untuk menghasilkan ciptaan inventif yang baru seperti kapal terbang, kapal selam dan ciptaan-ciptaan inventif yang lain.

(c) Jenis Analogi Fantasi
Jenis Analogi Fantasi adalah berdasarkan pada fikiran imaginasi atau pada aspek angan-angan sahaja. Imaginasi akan terbit dalam minda melalui cara pengembaraan minda secara berangan-angan. Berangan-angan adalah merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan dapat memberikan idea-idea baru bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul. Contohnya taman tema kanak-kanak yang tersohor di dunia iaitu Walt Disney Theme Park yang dibina berdasarkan angan-angan Walter Elias Disney. Menurut beliau, dia mendapat idea untuk membina taman tema berkenaan semasa menemani anaknya bermain-main di padang permainan yang berdekatan dengan kediamannya.


* Kaedah Peta Minda (Mind Mapping)
Peta Minda adalah analogi daripada kejadian dan pemerosesan maklumat yang berlaku di dalam otak. Peta ini diperkenalkan oleh seorang pengkaji minda yang bernama Tony Buzan. Beliau telah membuat kajian yang sangat mendalam tentang peta minda ini. Di samping itu juga, beliau telah pun menerbitkan lebih daripada sepuluh buah buku berkenaan dengan peta minda ini.

Buzan (1986) menegaskan di dalam bukunya yang berjudul ‘Use Your Memory’, peta minda adalah sesuatu yang sangat unik dan banyak membantu secara langsung dalam banyak aktiviti seharian. Contohnya, seperti membuat catatan nota, menyelesaikan permasalahan dan membuat keputusan telah menjadi kaedah yang utama dalam membuat sesuatu perancangan.

Bagi Tony Buzan, peta minda adalah berpaksikan pada sel-sel saraf pusat iaitu ‘neuron’. Otak manusia mengandungi lebih kurang sepuluh billion sel-sel saraf neuron aktif. Ia berbentuk seakan-akan seperti sebuah sarang yang dibina oleh seekor labah-labah manakala jari-jemarinya pulak berbentuk seperti sotong kurita.

Sel-sel neuron ini memproses maklumat secara rawak dan menyeluruh. Segala maklumat yang diperolehi akan dihubungkaitkan antara satu sama lain, dipertalikan, dianalisa kemudian digabungkan dan akhir sekali maklumat berkenaan akan dikelolakan bagi tujuan menemukan jaringan maklumat yang kita kehendaki.

Langkah-Langkah Membina Peta Minda
Dalam proses menghasilkan peta minda yang berkesan, beberapa langkah asas perlulah dipatuhi seperti berikut:

(a) Letakkan kata kunci di tengah-tengah. Kata kunci merupakan titik tumpuan yang utama pada sesuatu isu yang dikembangkan. Selain daripada patah perkataan, gambar, kod dan simbol-simbol yang sesuai boleh digunakan sebagai panduan ketika menghasilkan peta minda.

(b) Selepas itu, kita perlu mengenalpasti subkata kunci yang ditulis berhampiran dengan kata kunci. Seterusnya, subkata kunci dimuatkan pada mana-mana bahagian dan arah pada rantaian peta minda. Contohnya dalam rajah:

(c) Hubungan antara kata kunci, subkata kunci dan sub-subkata kunci yang lain perlulah selari dan dihubungkan dengan satu rangkaian garisan yang bersambungan di antara satu sama lain.

(d) Warna dan corak boleh juga digunakan bagi menunjukkan perbezaan di antara satu idea dengan idea yang lain.

TEORI KREATIVITI TAYLOR


KREATIVITI TAYLOR

Calvin W. Taylor ialah seorang ahli psikologi yang memperkatakan tentang tidak semua manusia dilahirkan dan dikurniakan dengan bakat yang sama. Beliau percaya bahawa perkembangan bakat seseorang terlalu berkait rapat dengan cara bagaimana seorang pendidik berupaya merangsang pemikiran seorang pelajar. Di dalam teorinya “Multiple Creative Talent”, beliau menjelaskan bahawa pembentukkan bakat perlulah bersesuaian dengan aktiviti pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas.

Dalam teorinya Taylor telah menyarankan lima jenis kreativiti bagi menunjukkan tahap perbezaan proses kreativiti yang berlaku pada seorang individu dengan individu yang lain. Jenis-jenis kreativiti berkenaan adalah:

(a) Kreativiti Bersifat Ekspresif
Kreativiti yang bersifat ekpresif selalunya berlaku secara rawak dan bebas. Ia boleh dilihat melalui lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak yang melukis secara sepontan. Kebanyakan lukisan yang dihasikan oleh kanak-kanak pada peringkat ini adalah secara bebas. Hasil lukisan itu juga mengikut kemampuan bersesuaian dengan usia dan perkembangan keadaan fizikal mereka yang belum stabil. Pada peringkat ini hasil lukisannya adalah dalam bentuk contengan dan penggunaan garisan yang tidak terkawal. Kreativiti bersifat ekpresif ini adalah bersifat bebas, kemahiran, keaslian dan kualiti tidak dianggap penting oleh pelajar semasa proses menghasilkan karya.

(b) Kreativiti melalui Penghasilan/Teknikal
Kreativiti melalui proses penghasilan adalah merujuk kepada kecekapan dan keupayaan seseorang pelajar dalam menghasilkan karya. Dalam peringkat ini pendidik perlulah membantu pelajar bagi tujuan menambahbaikan kemahiran yang sedia pada mereka kepada satu kaedah yang lebih sistematik dan terancang dengan sempurna. Ketika ini peranan pendidik sangat penting kerana pelajar memerlukan bimbingan bagi mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang sempurna dan sesuai dalam proses menghasilkan karya yang baik.

(c) Kreativiti Bersifat Inventif
Kreativiti bersifat inventif adalah merujuk kepada keupayaan individu mencipta benda atau objek baru melalui proses ekprimentasi. Pada peringkat ini penekanan utama adalah faktor-faktor penemuan dan penciptaan yang baru. Ia juga melibatkan percubaan demi percubaan bagi menghasilkan satu teori, formula dan kesimpulan terhadap eksprimen yang telah dijalankan oleh individu tersebut. Peranan pendidik pada peringkat ini adalah memberikan galakkan dan sokongan agar pelajar tidak mudah putus asa.

(d) Kreativiti Bersifat Inovatif
Kreativiti bersifat inovatif pula adalah peringkat yang melibatkan pengubahsuaian kepada konsep-konsep asas yang sedia ada kepada idea yang baru. Pada peringkat ini pelajar mula melakukan pengubahsuaian dan pembaharuan melalui gaya dan teknik mereka sendiri. Pendidik boleh membantu dan membimbing pelajar untuk mengenalpasti kaedah perlaksanaan yang betul. Di samping itu juga pelajar telah mula bertindak luar dari kaedah konvensional dan menghasilkan kaedah alternatif bagi setiap perancangan yang dibuat oleh mereka.

(e) Kreativiti Bersifat Imaginatif
Kreativiti bersifat imaginatif merupakan kreativiti yang paling tinggi kedudukannya. Pada peringkat ini prinsip-prinsip formal seni diterjermahkan di dalam bentuk abstrak dan dipermudahkan. Contohnya, imej figura manusia digambarkan tanpa memberikan perhatian serta penekanan kepada bentuk asas atau bentuk formal figura tersebut.

KAEDAH MENGALAKKAN KREATIVITI
Bagi menggalakkan dan merangsang pemikiran kreatif di kalangan para pelajar, terdapat beberapa kaedah telah dikenalpasti. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah seperti dijelaskan di bawah:

Kaedah Sumbangsaran
Kaedah ini adalah salah satu kaedah yang dikenalpasti boleh membantu meningkatkan kreativiti seseorang pelajar dalam penghasilan karya secara menyeluruh. Faktor asas kepada sumbangsaran ialah mengasingkan proses penghasilan idea daripada proses menilai. Aktiviti sumbangsaran adalah perlu difokuskan kepada kuantiti idea dan saranan yang disampaikan melalui interaksi sesama pelajar.

Guru perlu bijak apabila menggunakan kaedah sumbangsaran ini, agar proses penjanaan idea serta perkembangannya dan juga proses penyelesaian masalah yang dikemukakan oleh pelajar tidak akan terbantut. Kadang-kadang penyelesaian yang diberikan mungkin tidak relevan dan tidak logik. Proses menilai, perbincangan dan kritikan perlu dikemudiankan agar proses sumbangsaran ini dapat berjalan dengan lancar. Kecenderungan untuk menilai samada saranan tersebut sesuai ataupun tidak, ianya sedikit sebanyak akan mengganggu keseluruhan proses tersebut.

KREATIVITI



Setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih kreatif , tetapi ianya bukanlah merupakan hak mutlak akan terjadi kepada semua orang. Ianya berkait rapat dengan idea, perasaan, pemikiran, pengalaman dan keinginan seseorang. Kreativiti adalah penting dalam apa sahaja yang kita lakukan seperti melukis ,mewarna dan lain-lain.

 Seseorang itu , dikatakan kreatif apabila dia mencerna idea yang berkualiti dan berbeza dari orang lain. Kita boleh belajar berfikiran kreatif melalui pemerhatian dan boleh menerangkannya. Kita cuba berfikir luar dari kotak pemikiran yang biasa , barulah terhasil idea kreatif di luar jangkaan kita.


 Cara kita bertanya dan mengutarakan soalan juga  boleh menunjukkan  cara kita berfikir (mindset). Ia mengajar kita bagaimana sesuatu input (sama ada rangsangan deria atau maklumat) dapat diterangkan dan terbentuk dalam imageri dan minda seseorang untuk menerima maklumat.

Dari sudut pandangan seni visual pula, kreativiti dalam seni adalah satu perbuatan berfikir yang kreatif dan bernas tentang sesuatu idea untuk menghasilkan sesuatu dengan memikirkan aspek – aspek permasalahan yang akan muncul dan memikirkan penyelesaian masalah tersebut.


Beberapa tokoh dalam disipilin sains pemikiran antara lain menjelaskan bahawa kreativiti amat rapat dengan aktiviti dan gaya hidup manusia. Antara definisi yang diberikan adalah:

“... diri dalam keadaan bergerak balas ketika ia dirangsang dengan cara dinamik.”
(Hopkins, 1937 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001)

“... sebagai satu pemikiran dalam hidup”
(Fomm, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001)

“proses yang dilalui oleh seseorang dalam pengalaman seharian yang membwa perbaikan – pertumbuhan diri.”
(Andrews, 1961 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001)

“... satu proses yang seseorang itu menjadi peka terhadap masalah, kekurangan, jurang pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidakharmonian dan sebgainya; mengenal pasti perkara-perkara sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang kekurangan-kekurangan itu; menguji dan menguji semula hipotesis-hipotesis ini dan mungkin mengubah suai dan mengujinya semula; dan akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain.”
(Boon dan Ragbir, 1998)

“...melihat apa yang orang lain sudah nampak dan memikirkan apa yang belum difikirkan oleh orang lain.”
(Torrance, 1974)

“Creativity is the connecting and rearranging of knowledge-in the minds of people who will allow themselves to think flexibly-to generate new, often surprisingly ideas that others judge to be useful.”
(Plesk, 1997 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001)

“kreativiti adalah proses yang dilakukan oleh seseorang yang menyebabkan ia mencipta sesuatu baginya.”
(Mead, 1959 dalam Mohd Azhar Abd. Hamid, 2001)

Sunday 4 December 2011

PENGERTIAN LUKISAN


PENGERTIAN LUKISAN

  • Perkataan Lukisan dalam bahasa Inggeris ialah ‘Drawing’yang asalnya dari dua bahasa iaitu German dan Latin. Perkataan ‘to draw’adalah dari perkataan ‘Old English’ iaitu ‘dragan’ yang bermasud ‘todrag’ dan aktiviti yang berhubung dan tubuh badan.
  • Beberapa buku menyatakan lukisan adalah aktiviti melukis yang menggunakan bahan kering atau basah untuk mendapatkan kesan rupa dan bentuk pada sesuatu permukaan.
  • Lukisan juga boleh dikaitkan dengan pengalaman yang istimewa kepada seseorang pelukis yang digambarkan melalui gerak minda dan hati diterjemahkan di atas permukaan untuk dijadikan sebagai bahan dokumentasi.
  •  Secara langsung lukisan adalah satu displin seni yang boleh dikaitkan dengan keperluan psikologi, sejarah dan artistik – Ini terbukti bahawa pelukis perlu mempunyai tiga nilai kerangka dalam dirinya iaitu:
  1.     .Daya Visualisasi
  2. ·        Daya Emosi
  3. ·        Daya Estetika
         Sebenarnya lukisan bukanlah milik mutlak pelukis, tetapi ianya adalah milik semua manusia. Pengalaman anak-anak kecil menconteng diatas kertas atau dinding merupakan fitrah manusia melukis sebagai meluahkan perasaan dalam bentuk visualisasi.
            
        
SEJARAH LUKISAN

Lukisan awal telah ditemui di dinding-dinding gua yang dihasilkan oleh manusia purba. Lukisan tersebut berkisar tentang aktiviti kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan. 


Di Malaysia lukisan gua telah dijumpai di Gua Niah, Sarawak dan Gua tambun, Perak. Kebanyakan karya lukisan di dinding gua menggunakan gaya yang sama, iaitu imej binatang digambarkan dengan pelbagai kualiti garisan ringkas dengan komposisi yang hampir sama, iaitu memanjang dan berkumpulan serta menggambarkan pelbagai binatang yang mungkin menjadi hasil buruan untuk makanan mereka pada zaman dulu .

Ini juga ada kaitannya dengan perjumpaan lukisan-lukisan purba di gua-gua, lukisan itu menjadi faktor penentu kepada pemujaan untuk pemburuan. Manusia zaman dahulu menggunakan lukisan sebagai asas untuk kekuatan tumpuan mereka kepada mencari nafkah. Pada dinding zaman Mesir purba lukisan dijadikan sebagai rakaman penghidupan. Lukisan digambarkan dalam satu penceritaan ‘komik’yang bersiri untuk meninggalkan satu dokumentasi sejarah yang gemilang.

Menutur Betti & Sale (1997), secara umumnya empat kepentingan
lukisan, antaranya ialah:

  • ·        Tujuan untuk penyelidikan, kajian dan untuk melihatsesuatu peristiwa yang sebenar
  • ·        Tujuan untuk merakamkan sesuatu peristiwa.
  • ·        Sebagai data menyimpan memori kepada pelukis untukmenghasilkan satu karya yang terbaik.
  • ·        Tujuan sebagai alat komunikasi idea (mencari idea yang terbaik)
 Jenis- Jenis  Lukisan

  •     Lukisan Figuratif
Lukisan figuratif tertumpu kepada mengkaji dan melukis tubuh manusia atau binatang. Pelukis perlu memahami anatomi terlebih dahulu untuk melukis. Melukis figuratif adalah amat sukar kerana darisegi kadar banding adalah perkara yang menentukan keindahan dalam karya lukisan figuratif.
  •  Lukisan Kajian
Lukisan berupa kajian adalah dilukis untuk mengkaji sesuatu benda.Misalnya kajian terhadap tumbuh-tumbuhan maka pelukis perlumelukis sesuatu bahagian itu dengan teliti sebagai bahan kajian.Kebiasaannya lukisan kajian lebih tertumpu kepada objek alam seperti timbuh-tumbuhan dan haiwan.
  •     Lukisan Informasi
Lukisan informasi adalah bertujuan untuk memberi informasi kepada pelanggan. Kebisaannya dalam bentuk ilustrasi atau peta. Lukisan inimemerlukan kemahiran yang khusus dan melukis dengan cermat danbersih.
  • Lukisan Teknikal
Merupakan cabang seni yang dikatakan berkaitan dengan sainstifik.Lukisan teknikal memerlukan kemahiran dalam matematik keranakeperluan untuk melukis dengan kadar banding yang tepat.Contohnya melukis kenderaan dan alatan pengguna.


  • ·        Lukisan Konseptual
Lukisan konseptual jarang sekali kedengaran. Pelukis memerlukanimeginasi yang kuat untuk melukis sesuatu konsep yang baru.Misalnya sebuah filem seram memerlukan lukisan satu watak seramuntuk dijadikan watak dalam cerita tersebut, maka pelukis perlumelukis konsep watak tersebut dalam bentuk fantasi.
  • Lukisan Artistik
Lukisan artistik adalah hanya tertumpu kepada keindahan dalampengkaryaan. Pelukis melukis hanya sekadar untuk mempamirkankaryanya sebagai sesebuah karya seni. Lukisan artistik juga dibuatdalam bentuk thamnil untuk mendapatkan idea karya-karya seni yanglain seperti arca, catan, percetakan dan sebagainya.

ELEMEN-ELEMEN DALAM LUKISAN
  • ·        Warna
  • ·        Garisan
  • ·        Jalinan
  • ·        Ruang
  • ·        Rupa
  •      Bentuk
  • Lukisan ialah salah satu aktiviti penghasilan karya dalam bidang seni halus.
  •   Lukisan menyediakan landasan asas untuk berkomunikasi dalam pelbagai cara dan bidang.
  •  Biasanya lukisan menggunakan media kering untuk menghasilkan karya.
  •  Penghasilan lukisan bertujuan untuk mengkaji struktur bentuk subjek atau imej yang dilukis secara   teliti.
  •  Lukisan akan mengikatkan kita dengan emosi, keintelektualan dan juga spiritual.
  •   Lukisan juga boleh menyatakan luahan emosi, intelektual dan spiritual manusia.
  •  Lukisan dapat mengembangkan kedua-dua minda dan semangat (spirit).
  •  Justeru, lukisan dihasilkan sebagai satu cara menghargai penglihatan dan pemikiran manusia.


MEDIA
  • ·     Media dominan ialah media kering seperti pensel dan arang untuk mendapatkan kesan rupa dan bentuk ilusi pada sesuatu permukaan.
  • ·        Penghasilan mestilah memperlihatkan struktur sesuatu benda. Lukisan juga boleh dihasilkan melalui campuran media kering dan media basah. Contohnya, warna pensel dan warna air.
  • ·        Penggunaan media basah seperti warna air juga boleh digunakan tetapi penggunaannya adalah secara terhad dan minimum.
  • ·        Lukisan menitikberatkan kepada penghasilan struktur bentuk sesuatu benda dengan penggunaan pelbagai jenis garisan.


TUJUAN PENGHASILAN
  1.           Mengkaji struktur sesuatu benda dengan lebih terperinci menggunakan aplikasi unsur dan prinsip seni reka. Contohnya, memasukkan jalinan dan imbangan pada bentuk yang dilukis.
  2.          Gambaran awal atau gambaran ringkas sebelum penghasilan imej akhir. Contohnya  lukisan sesuatu imej dihasilkan sebelum penghasilan imej sebenar pada catan.
  3.        Menerusi lukisan juga boleh dijadikan sebagai sindiran atau komentar sosial dalam sesebuah masyarakat dan ia dapat mempengaruhi psikologi manusia. Contohnya ,lukisan kartun yang menyindir sistem sosial dalam sesebuah masyarakat.

·     -   Lukisan juga dapat dijadikan sebagai luahan emosi dan ekspresi pengkarya melalui tema yang disampaikan melalui imej-imej tertentu.