Popular Posts

Wednesday 28 December 2011

PENDIDIKAN SENI MEMBANTU MENINGKATKAN KREATIVITI


HUBUNGAN SENI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL
Matlamat Pendidikan Seni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan harmonis. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian (seni sebagai cara hidup).
Seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranan Pendidikan Seni yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan bahkan mampu melahirkan pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang berteraskan kebudayaan kebangsaan.
Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri. Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.
Seni juga berperanan penting dalam pembangunan manusia, malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya.
Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan (pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya.
Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.
Pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan Pendidikan Seni tersebut iaitu:
a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibat seni sebagai budaya visual

b) Kaitan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu karya seni
c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni
d) Analisis unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni/objek
e) Memahami sesuatu hail seni dan bentuk dari sudut kontent
f) Gabungkan unsur teknologi dalam pendidikan Seni
g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan konstruktif yang membina

Kesimpulannya di sini dalam kehidupan harian kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan seni. Tidak kira sebesar mana peranannya terhadap kehidupan kita, namun kepentingan seni wajar dilihat sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Penglibatan seni hampir menyeluruh, terutama jika dilihat tentang penggunaan bahan peralatan di rumah, susunan perabut, pemilihan warna dan fesyen pakaian dan banyak lagi perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Semuanya ini mempunyai kaitan dengan seni dan falsafah masyarakat.

MENINGKATKAN KREATIVITI DALAM EKSPRESI SENI : TEORI MC FEE
Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)
Mc Fee(1970) menekankan kepekaan terhadap alam sekitar di dalam matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni . Beliau menekankan empat asas dalam mengkaji seni iaitu:
a) Kajian dan bandingan makna iaitu kanak-kanak mengenal objek serta bandingan objek melalui soalan-soalan yang dibina.
b) Belajar membaca mesej iaitu makna dan nilai pada objek mengaitkan makna dengan nilai.
c) Kajian komunikasi antara penyusunan benda-benda di persekitaran dengan nilai-nilai dan unsur budaya.
d) Kajian dari perspektif individu membuat modifikasi sesuai dengan nilai-nilai dan budaya.
Seni telah diterima oleh masyarakat kita sebagai satu budaya hidup yang perlu dikekalkan. Perkembangan seni selari dengan perkembangan hidup manusia sejak zaman dahulu lagi. Justeru tidak hairan jika Mc Fee lebih menumpukan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat melalui penerokaan dalam menghasilkan seni. Apa juga corak yang dihasilkan mempunyai makna kebudayaan di dalamnya. Ini membuktikan betapa pengaruh kebudayaan amat ditekankan dalam matlamat kurikulum Mc Fee.

Teori beliau lebih komprehensif berhubung dengan pengamatan. Beliau percaya, ”…kanak-kanak melukis sebagaimana yang mereka lakukan dan bukanlah disebabkan satu-satu faktor tetapi disebabkan oleh semua”.
Mengikut teori ini kebudayaan adalah penting. Seni dan kurikulum seni adalah sebahagian dari kebudayaannya di mana kanak-kanak itu tinggal. Kebudayaan ini sebenarnya memberi kesan kepada pencapaian artistik kanak-kanak. Hari ini di mana-mana juga terdapat pelajar yang mewakili kebudayaan masing-masing. Mengikut Mc Fee (1970) lagi, adalah sangat mustahak setiap individu iaitu kanak-kanak dan ‘subculture’ dilindungi dan dipertahankan melalui seni tampak.
Bagi mencapai objektif bagaimana Pendidikan Seni dapat memperkembangkan warisan kebudayaan, (sasaran golongan masyarakat dan pelajar) , strategi dan pelaksanaan yang dicadangkan adalah seperti berikut;

a) Memberi peluang mengetahui pencapaian seniman lampau serta kini termasuk ’identiti’ mereka ketika menghasilkan karya mahupun melakukan aktiviti seni mereka.
- Pendekatan ini boleh memberi ruang dan peluang kepada individu terutama pelajar mencari dan mendapat idea seni melalui pengalaman kendiri mereka berdasar rujukan biografi para seniman tanahair. Ini kerana kita sedia maklum dalam kurikulum Mc Fee, beliau menekankan aspek kepekaan terhadap persekitaran dan alam dalam menghasilkan sesuatu karya. Pelajar boleh menggunakan persekitaran alam sekeliling mereka untuk dijadikan idea utama dalam pengolahan makna. Melalui ’design object’ ini pelajar menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan makna dan secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej yang ingin diluahkan. Tingkahlaku kognitif pelajar terbentuk mengikut kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Maka tidak mustahil jika hasil karya mereka berdasar kepada pengalaman yang dilalui.

b) Membuat penyelidikan dan membanding makna melalui hasil karya lampau seseorang seniman sebagai bahan rujukan.
- Dalam seni kritikan, pengkritik seni berperanan menceritakan apa yang berlaku di sebalik terhasilnya sesuatu karya itu supaya ia menjadi lebih bertenaga dan bercahaya selepas digilap oleh pengkritik seni yang berwibawa. Bahkan pengkritik seni perlu jujur dalam kritikannya. Secara tidak langsung menerapkan rasa penghayatan masyarakat terhadap sesuatu karya yang  mengandungi simbol dan makna yang cuba disampaikan.

c) Memerhati seniman menyusun objek-objek yang dipilih sehingga menjadi satu karya yang mengandungi simbol dan makna.
- Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan seniman mengolah idea dengan adunan warna dan teknik memperlihatkan satu kreativiti yang hebat. Karya seni merupakan satu manifestasi kejujuran. Seni berperanan untuk mendidik penghayat (masyarakat). Edmund Burke Feldman (1966) menyatakan seni sebagai satu bidang komunikasi yang berkesan kepada masyarakat. Karya seni ini boleh dianggap sebagai himpunan khazanah, idea, sumber ilham untuk dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin.


d) Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa

seni visual.
- Manusia mempunyai emosi dan perasaan dan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia untuk menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya ’Psychology of Gesture’ telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri.
Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; ”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.
Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan adalah proses budaya. Bagaimana budaya tercipta? Tentulah melalui seni warisan bangsanya.

PENUTUP:
Seni begitu memain peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini.
Di harapkan melalui Pendidikan Seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini.
Seni dan falsafah menjadi faktor terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan. Memang benar apabila seni dikatakan sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan kepentingan bersama.

No comments:

Post a Comment