HUBUNGAN SENI DALAM KEHIDUPAN
SOSIAL
Matlamat Pendidikan Seni dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya
dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap
ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan
harmonis. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan
matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan
berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan
seharian (seni sebagai cara hidup).
Seni dapat membentuk jiwa dan
peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan
individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranan Pendidikan Seni
yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang
bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai
teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan bahkan mampu melahirkan
pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping
memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang
berteraskan kebudayaan kebangsaan.
Sebagai sebuah negara yang sedang
membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh
menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri.
Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk
membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat
mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk
satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa
kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.
Seni juga berperanan penting
dalam pembangunan manusia, malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan
masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak
telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya.
Negara perlu memikirkan satu
kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan
masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta
kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan
nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan
negara.
Sekolah dan institusi pengajian
tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan
(pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru
semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada
kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah
mengekalkan seni, budaya dan warisannya.
Seni dianggap sebagai sumber
terpenting dalam kehidupan manusia, untuk berkomunikasi, berinteraksi dan
berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor
terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni
dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana
kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.
Pengajaran seni bukan sahaja
melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat,
mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu
sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan
Pendidikan Seni tersebut iaitu:
a) Isi kandungan Pendidikan Seni
harus melibat seni sebagai budaya visual
b) Kaitan perasaan, fungsi dan
bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu karya seni
c) Tahap kognitif secara individu
atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni
d) Analisis unsur sosial yang
terdapat dalam sesuatu seni/objek
e) Memahami sesuatu hail seni dan
bentuk dari sudut kontent
f) Gabungkan unsur teknologi
dalam pendidikan Seni
g) Dalam menilai dan
menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan konstruktif yang
membina
Kesimpulannya di sini dalam
kehidupan harian kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan seni. Tidak
kira sebesar mana peranannya terhadap kehidupan kita, namun kepentingan seni
wajar dilihat sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Penglibatan seni hampir
menyeluruh, terutama jika dilihat tentang penggunaan bahan peralatan di rumah,
susunan perabut, pemilihan warna dan fesyen pakaian dan banyak lagi perkara
yang bersangkutan dengan kehidupan. Semuanya ini mempunyai kaitan dengan seni
dan falsafah masyarakat.
MENINGKATKAN KREATIVITI DALAM
EKSPRESI SENI : TEORI MC FEE
Pendidikan Seni di sekolah
seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972),
Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat
bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta
melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya,
masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu
mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan
penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)
Mc Fee(1970) menekankan kepekaan
terhadap alam sekitar di dalam matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni .
Beliau menekankan empat asas dalam mengkaji seni iaitu:
a) Kajian dan bandingan makna
iaitu kanak-kanak mengenal objek serta bandingan objek melalui soalan-soalan
yang dibina.
b) Belajar membaca mesej iaitu
makna dan nilai pada objek mengaitkan makna dengan nilai.
c) Kajian komunikasi antara
penyusunan benda-benda di persekitaran dengan nilai-nilai dan unsur budaya.
d) Kajian dari perspektif
individu membuat modifikasi sesuai dengan nilai-nilai dan budaya.
Seni telah diterima oleh
masyarakat kita sebagai satu budaya hidup yang perlu dikekalkan. Perkembangan
seni selari dengan perkembangan hidup manusia sejak zaman dahulu lagi. Justeru
tidak hairan jika Mc Fee lebih menumpukan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat
melalui penerokaan dalam menghasilkan seni. Apa juga corak yang dihasilkan
mempunyai makna kebudayaan di dalamnya. Ini membuktikan betapa pengaruh
kebudayaan amat ditekankan dalam matlamat kurikulum Mc Fee.
Teori beliau lebih komprehensif
berhubung dengan pengamatan. Beliau percaya, ”…kanak-kanak melukis sebagaimana
yang mereka lakukan dan bukanlah disebabkan satu-satu faktor tetapi disebabkan
oleh semua”.
Mengikut teori ini kebudayaan
adalah penting. Seni dan kurikulum seni adalah sebahagian dari kebudayaannya di
mana kanak-kanak itu tinggal. Kebudayaan ini sebenarnya memberi kesan kepada
pencapaian artistik kanak-kanak. Hari ini di mana-mana juga terdapat pelajar
yang mewakili kebudayaan masing-masing. Mengikut Mc Fee (1970) lagi, adalah
sangat mustahak setiap individu iaitu kanak-kanak dan ‘subculture’ dilindungi
dan dipertahankan melalui seni tampak.
Bagi mencapai objektif bagaimana
Pendidikan Seni dapat memperkembangkan warisan kebudayaan, (sasaran golongan
masyarakat dan pelajar) , strategi dan pelaksanaan yang dicadangkan adalah
seperti berikut;
a) Memberi peluang mengetahui
pencapaian seniman lampau serta kini termasuk ’identiti’ mereka ketika
menghasilkan karya mahupun melakukan aktiviti seni mereka.
- Pendekatan ini boleh memberi
ruang dan peluang kepada individu terutama pelajar mencari dan mendapat idea
seni melalui pengalaman kendiri mereka berdasar rujukan biografi para seniman
tanahair. Ini kerana kita sedia maklum dalam kurikulum Mc Fee, beliau
menekankan aspek kepekaan terhadap persekitaran dan alam dalam menghasilkan
sesuatu karya. Pelajar boleh menggunakan persekitaran alam sekeliling mereka
untuk dijadikan idea utama dalam pengolahan makna. Melalui ’design object’ ini
pelajar menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan makna dan secara tidak
langsung cuba menyampaikan mesej yang ingin diluahkan. Tingkahlaku kognitif
pelajar terbentuk mengikut kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Maka tidak
mustahil jika hasil karya mereka berdasar kepada pengalaman yang dilalui.
b) Membuat penyelidikan dan
membanding makna melalui hasil karya lampau seseorang seniman sebagai bahan
rujukan.
- Dalam seni kritikan, pengkritik
seni berperanan menceritakan apa yang berlaku di sebalik terhasilnya sesuatu
karya itu supaya ia menjadi lebih bertenaga dan bercahaya selepas digilap oleh
pengkritik seni yang berwibawa. Bahkan pengkritik seni perlu jujur dalam
kritikannya. Secara tidak langsung menerapkan rasa penghayatan masyarakat
terhadap sesuatu karya yang mengandungi
simbol dan makna yang cuba disampaikan.
c) Memerhati seniman menyusun
objek-objek yang dipilih sehingga menjadi satu karya yang mengandungi simbol
dan makna.
- Seniman dilahirkan dengan bakat
dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan seniman mengolah idea dengan adunan warna
dan teknik memperlihatkan satu kreativiti yang hebat. Karya seni merupakan satu
manifestasi kejujuran. Seni berperanan untuk mendidik penghayat (masyarakat). Edmund
Burke Feldman (1966) menyatakan seni sebagai satu bidang komunikasi yang
berkesan kepada masyarakat. Karya seni ini boleh dianggap sebagai himpunan
khazanah, idea, sumber ilham untuk dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin.
d) Mempelajari cara seniman
mentafsir idea untuk membentuk seni dengan memperolehi pelbagai kesan melalui
penggunaan asas senireka dan bahasa
seni visual.
- Manusia mempunyai emosi dan
perasaan dan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia mahu berkongsi perasaan
dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan
manusia untuk menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Charlotte Wolff (1970)
dalam bukunya ’Psychology of Gesture’ telah mengkaji perlakuan manusia dan
menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa
kawalan diri.
Tidak dinafikan jika manusia
dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh
dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati
bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz seorang ahli antropologi menyatakan;
”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.
Ini menunjukkan manusia dalam
kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium
untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia
boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan adalah proses budaya.
Bagaimana budaya tercipta? Tentulah melalui seni warisan bangsanya.
PENUTUP:
Seni begitu memain peranan
penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai
satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah
telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan
manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan
perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia
pendidikan kita hari ini.
Di harapkan melalui Pendidikan
Seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek
ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya
dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin
melalui kegiatan seni ini.
Seni dan falsafah menjadi faktor
terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan. Memang benar apabila seni
dikatakan sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku
dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan
kepentingan bersama.