Sehingga hari ini telah banyak kajian dan penyelidikan
tentang ciri-ciri idea kreatif. Antara tokoh yang banyak menjalankan kajian
terhadap idea-idea kreatif ini ialah Graham Wallas (1926), Guilford (1950),
Lehman (1953), Osborn (1954), Taylor (1956), Getzels (1962), deBono (1970),
Foster (1971), Hermann (1984), Trefingger (1986) dan lain-lain lagi.
Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh mereka, beberapa
ciri-ciri penting tentang idea kreatif telah ditemui dan dirumuskan. Antara
ciri-ciri tersebut ialah:
(a) Idea Baru dan Idea Alternatif
Idea baru ialah idea yang segar dan tidak pernah diketahui
oleh sesiapa pun. Idea kreatif yang dihasilkan adalah lebih baik dan
berkualiti. Ianya juga berwajah baru dari sudut konsep, prosedur dan perlaksaan
idea baru tersebut. Idea baru ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana idea
yang telah sedia ada. Ia wujud di kalangan masyarakat dan tiada seorang
individu terfikir tentangnya. Apabila sesuatu idea ditiru dan kemudian telah
diadaptasikan dalam bentuk yang baru, idea berkenaan tidak dikira dan diiktiraf
sebagai satu bentuk idea yang baru lagi.
(b) Idea Perlu diperluaskan
Idea-idea kreatif baru terbit perlu diperluaskan serta
diperkembangkan dengan pengisian tambahan yang lain. Ia juga boleh dikecilkan,
dibesarkan dan digabungkan dengan mana-mana idea lama dengan tujuan untuk
menghasilkan idea yang lebih bermutu. Idea asal itu boleh diperluaskan dengan
gabungan idea-idea baru. Salah satu daripada prinsip inovasi adalah idea baru
boleh dipelbagaikan supaya kelihatan lebih menarik dan memiliki ciri-ciri
pasaran yang tinggi. Idea yang tidak boleh diperluaskan akan hilang dan pupus
menyebabkan ia tidak dapat digunakan lagi.
(c) Tidak Mementingkan Prinsip yang Kompleks
Idea-idea kreatif tidak mementingkan prinsip-prinsip yang
kompleks. Ia tidak seperti idea-idea kritis yang mesti melalui beberapa tahap
uji kaji dan penilaian sebelum idea berkenaan diterima. Idea-idea kreatif boleh
diterbit secara sewenang-wenang dan tidak mempunyai satu peraturan yang khusus.
Kadangkala idea-idea yang tidak logik dan gila-gila juga boleh diterima pakai
dan digunakan.
(d) Idea Bersifat Mobiliti
Idea kreatif tidak bersifat statik dan kaku malahan ianya
bersifat dinamik. Ia boleh bergerak merentasi amalan dan disiplin ilmu bidang
lain. Kepelbagaian bidang dan pengalaman menjadikan idea kreatif lebih mudah
diterbitkan. Gabungan daripada pelbagai sumber, pengetahuan, pengalaman dan
pendekatan bagi menghasilkan idea yang lebih baik serta bermutu. Hari ini,
semua bidang kehidupan boleh dikaitkan dengan kreativiti. Kreativiti boleh
bergerak menerusi pelbagai saluran, merentasi berbagai benua, bangsa dan tidak
mengira apa budaya sekali pun.
(e) Idea Bersifat Diversiti dan Kepelbagaian
Idea yang bersifat diversiti dan kepelbagaian adalah
ciri-ciri utama kreativiti. Bagi memanipulasikan idea-idea kreatif, pelbagai
kaedah dan pendekatan boleh digabungkan agar ianya mudah dilaksanakan.
Berdasarkan idea-idea ini, ia banyak mewujudkan idea-idea alternatif yang baru.
Apabila idea pertama gagal digunakan maka idea kedua dan seterusnya boleh
digunakan, begitulah seterusnya berlaku.
(f) Idea Bersifat Fleksibiliti
Idea-idea kreatif adalah bersifat fleksibel dan tidak rigid.
Ia juga boleh digabungkan ataupun dikurangkan. Namun begitu, ia tidak boleh
diketepikan sama sekali dan idea-idea kreatif ini boleh diterbitkan oleh
sesiapa sahaja. Tidak kira sama ada individu itu golongan kanak-kanak, remaja,
dewasa dan orang tua. Golongan remaja dan dewasa mungkin boleh menghasilkan
idea kreatif yang lebih baik daripada orang tua.
(g) Idea Bersifat Eksplorasi
Idea-idea kreatif lahir daripada usaha-usaha penerokaan dan
pengamatan deria yang luas terhadap persekitaran. Ini disebabkan oleh idea-idea
kreatif bersifat proaktif berbanding dengan idea kritis yang bersifat reaktif.
Bagi mendapatkan idea-idea kreatif, seseorang individu itu perlu menerokai alam
kanak-kanak, alam remaja, alam dewasa, alam golongan tua dan juga bidang-bidang
yang lain. Perkara ini sangat penting bagi memastikan idea-idea kreatif boleh
mengambarkan kreativiti yang standard berdasarkan keperluan.
(h) Idea itu Berguna dan Bernilai
Idea kreatif tidak bersifat kompleks, abstrak dan sukar
untuk difahami. Idea-idea kreatif boleh dipermudahkan dan berguna. Idea yang
berbentuk abstrak, unik dan kompleks tidak akan dapat memberikan manafaat. Oleh
itu, ia tidaklah dianggap mempunyai nilai kreatif. Dengan erti kata yang lebih
mudah, idea perlu mampu diterjemahkan dan dilaksanakan secara kukuh serta
teguh. Idea akan hanya tinggal idea sahaja sekiranya ia tidak dapat memberikan
sebarang nilai tambah kepada kita.
No comments:
Post a Comment